Tuesday, December 6, 2011

Lima Jari Menyimpan Rahsia

Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan di sebalik jari
anda yang lima. Cuba perhatikan perlahan-lahan jari anda. Kemudian,
genggam ia kuat-kuat dan angkatkan ke atas. Laungkan ..."Allahu Akbar"
sekuat-kuatnya. Itulah Rukun Islam yang mesti dijunjung. Luruskan ia ke
hadapan dalam keadaan terbuka. Renung dalam-dalam. Kewajipan solat lima
waktu jangan diabaikan.


Kemudian lekapkan jari itu di atas meja, perhatikan. Bermula daripada
jari kelingking yang kecil dan kerdil, seperti manusia dan apa sahaja
akan bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar. Itulah
fitrah insan dan alam seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan mesti
bermula daripada kecil. Bak kata pepatah "melentur buluh biarlah
daripada rebungnya". Kegagalan mendidik di usia ini akan memberi kesan
yang besar pada masa hadapan.

Naikkan kepada jari kedua, jari manis namanya. Begitu juga dengan usia
remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini. Apatah lagi kiranya
disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tak
terkira.. pada ketika ini, alam remaja menjengah diri. Awas!! Di usia
ini sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman
dan taqwa menunjuk jalan kebenaran. Pada usia ini, anda sudah baligh dan
mukalaf. Pastinya sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan
Rabbul Jalil. Bersediakah anda??

Nah...naik kepada jari ketiga. Jari yang paling tinggi, jari hantu
namanya. Zaman remaja ditinggalkan. Alam dewasa kian menjengah. Di
peringkat umur 30-an ini seorang itu telah mempunyai status dan identiti
dengan ekonomi yang kukuh serta kerjaya yang teguh. Namun, anda mesti
berhati-hati kerana di kala ini banyak "hantu-hantu pengacau" yang
datang menggoda. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri
hati dan seribu macam hantu lagi. Kalau gagal mengawal emosi lantas
terus masuk ke jerangkap nafsu dan syaitan. Jesteru itu, amal ibadat
mesti dilipatgandakan.

Kita beralih kepada jari telunjuk. Jari inilah yang mengungkap satu dan
esanya Allah SWT ketika solat. Genggamkan kesemua jari dan keluarkan
jari ini. Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan
tauladan. Manusia yang berada di tahap usia ini, hendaklah tampil
sebagai model kepada generasi baru dan pembimbing yang kaya dengan idea
bernas dan minda yang hebat.

Akhir sekali, renung ibu jari. Ianya besar dan pendek tetapi
menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. Tugasnya
membenarkan sesuatu dan mentafsirkan pelbagai perkara. Bak kata orang
Jawa "cap jempol" atau cap jari. Kalau dia ada, semua urusan berjalan
lancar. Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang
berpengalaman. Sekiranya petunjuk mereka anda patuhi, nescaya anda boleh
berkata "good" atau "yes" sambil menggengam semua jari dan angkat ibu
jari ke atas itulah rahsia kejayaan anda.

Akhirul kalam, cuba lihat sekali lagi jari anda yang kelima.
Renung dan fikir dalam-dalam. Dimanakah anda sekarang???

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...